Hak cipta

Hak cipta adalah perlindungan yang diberikan kepada pengarang, pemilik hak cipta dan pelaku karya dan persembahan hak cipta sebagaimana ditetapkan di bawah Akta Hak Cipta 1987. Karya-karya yang layak mendapat perlindungan Harta Intelek ialah :­


  • Karya sastera ;

  • Karya muzik;

  • Karya seni;

  • Filem;

  • Rakaman bunyi;

  • Siaran; dan

  • Karya terbitan


Karya-karya di atas adalah dilindungi tanpa mengira kualiti dan tujuan karya-karya itu dihasilkan. Walau bagaimanapun, perlindungan hak cipta hanya boleh diberikan kepada ekspresi idea dan tidak kepada idea, prosedur, kaedah pengendalian atau konsep matematik. Sesiapa yang menggunakan mana-mana karya berhakcipta tanpa kebenaran daripada penulis, pemilik hak cipta dan pelaku, adalah merupakan suatu pelanggaran di bawah Akta Hak Cipta 1987. Di antara perbuatan pelanggaran hakcipta termasuklah:


  • Pengeluaran semula apa-apa karya berhakcipta dalam apa-apa bentuk bahan melalui tayangan, pertunjukan permainan atau pengedaran kepada orang awam,

  • Pengimportan salinan langgaran karya-karya berhakcipta ke negara Malaysia untuk selain daripada kegunaan persendirian yang dibenarkan;

  • Pembuatan salinan langgaran karya-karya berhakcipta untuk tujuan jualan atau sewaan kepada awam;

  • Penjualan, penyewaan dan pengedaran apa-apa salinan langgaran karya-karya berhakcipta dengan cara perdagangan, mendedahkan dan menawarkan untuk jualan atau sewaan;

  • Memiliki salinan langgaran untuk tujuan perdagangan selain daripada kegunaan persendirian yang dibenarkan;

  • Membuat pameran salinan langgaran karya-karya berhakcipta untuk tujuan perdagangan kepada orang awam;



Tempoh Perlindungan Hakcipta

  • Karya Sastera, Karya Muzik atau Karya Seni

Hak Cipta mengenai mana-mana karya sastera, muzik atau seni wujud semasa hayat pencipta dan hendaklah terus wujud sehingga habis tempoh lima puluh tahun selepas kematiannya.

  • Filem, Rakaman Bunyi dan Pelaku

Hak cipta hendaklah wujud selama 50 tahun dari karya itu diterbitkan, dibuat penetapan untuk karya filem dan rakaman bunyi. Bagi pelaku, hak cipta itu hendaklah wujud daripada persembahan dilakukan atau penetapan dalam rakaman bunyi.

  • Siaran

Hakcipta dalam siaran, perlindungan berlaku dalam cara transmisi sama ada melalui cara wayar atau tanpa wayar (wireless), tempoh selama lima puluh tahun hendaklah dikira dari mana siaran pertama kali dibuat.



Hak Pemilik Hakcipta


  • Hak Perundangan

Pencipta, pemilik hak cipta dan pelaku diberikan hak eksklusif untuk mengawal di bawah undang-undang hak cipta. Hak perundangan yang diberikan kepada mereka termasuk hak untuk menguatkuasakan karya berhakcipta mereka dalam kes-kes pelanggaran sama ada melalui tindakan sivil atau jenayah. Dari segi pelakuan jenayah, ia dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) atau Polis Diraja Malaysia.


  • Hak Ekonomi

Hak ekonomi yang diberikan kepada pemunya hak termasuk hak pengeluaran semula, hak penyampaian kepada orang ramai, hak untuk pertunjukan, tayangan atau permainan kepada awam, hak pengedaran dan hak sewa komersial. Hak ini boleh dilaksanakan dalam tempoh perlindungan yang dikawal di bawah Akta Hak Cipta 1987. Hak ekonomi membolehkan pemilik hak untuk memperolehi ganjaran kewangan daripada penggunaan karya-karya beliau oleh pengguna atau tujuan komersial. Hak ekonomi boleh diperolehi melalui penyerahan hak, pelesenan dan wasiat.


  • Hak Moral

Hak Paterniti: Hak ini membolehkan penulis untuk dikenali dan menuntut keaslian ciptaan mereka dikekalkan.

Hak Integriti: Hak ini membenarkan penulis untuk menghalang mana-mana pengguna dari penyelewengan, pencacatan atau pengubahsuaian yang lain kerja-kerja beliau di mana hasil daripada pengubahsuaian yang ketara akan mengubah kerja asal dan menjejaskan kehormatan atau reputasi pencipta.