Penyelidikan adalah kerja kreatif dan sistematik yang dijalankan untuk meningkatkan pengetahuan terhadap pelbagai bidang termasuk pengetahuan tentang benda hidup, benda bukan hidup mahupun persekitaran. Menurut Tuckman (1999), penyelidikan adalah kaedah sistematik untuk mendapatkan jawapan untuk sesuatu persoalan atau permasalahan, Kelinger (1964) pula mendefinisikan penyelidikan sebagai penyiasatan berbentuk sistematik, terkawal, bercorak empirikal dan kritikal mengenai perhubungan dalam kalangan fenomena manakala Ahmad Mahdzan (1992) menyatakan penyelidikan sebagai usaha-usaha mencari jawapan kepada soalan-soalan khusus yang dikemukakan berkenaan sesuatu permasalahan. Secara ringkasnya, penyelidikan ialah satu proses yang sistematik untuk memberi jawapan kepada sesuatu persoalan. Penggunaan pengetahuan ini seterusnya boleh digunakan untuk merangka aplikasi baru.
Bagi memastikan penyelidikan ini dijalankan secara sistematik, langkah-langkah berikut perlu dipenuhi :
Memahami masalah yang hendak dikaji
Mengenalpasti bidang pengetahuan yang berkaitan melalui sorotan kajian untuk memahami cara pengkaji lepas menguruskan persoalan/masalah tersebut
Mengumpul data secara tersusun dan terkawal supaya dapat mencapai keputusan yang sah
Menganalisis data sesuai dengan objektif kajian
Membuat kesimpulan dan generalisasi
Melalui penyelidikan, fakta, dan teori boleh diwujudkan, pengesahan fakta boleh dilakukan, masalah boleh diselesaikan seterusnya projek masa lalu dalam lapangan boleh diperluaskan. Hasil penyelidikan boleh berbentuk dokumentasi, penemuan, interpretasi ; dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk kemajuan pengetahuan manusia.
Jadual 1.0 menunjukkan jenis-jenis penyelidikan dan ringkasan definisi bagi setiap penyelidikan tersebut.
Penyelidikan adalah suatu prosedur yang dijalankan secara tersusun dan bersistematik, yang digunakan oleh para penyelidik untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang dibangkitkan. Proses penyelidikan itu perlu melalui fasa yang berikut :
Mengenalpasti masalah
Menjalankan kajian sorotan / literatur
Pembentukan penyataan masalah dan objektif kajian
Merekabentuk kajian
Merekabentuk instrumen kajian
Pengumpulan data
Pemprosesan data
Interpretasi data
Penulisan laporan
Jadual 1.1 menunjukkan struktur laporan penyelidikan yang perlu dihasilkan oleh penyelidik untuk memaparkan bahawa penyelidikan telah dijalankan secara bersistematik dan lengkap
Budaya penyelidikan di Politeknik Merlimau perlu melalui proses pelaksanaan yang berikut. Ia mempunyai 3 peringkat pelaksanaan iaitu :
Peringkat 1 : Menghantar dokumen proposal penyelidikan
Peringkat 2 : Menjalankan penyelidikan dan kemaskini kemajuan penyelidikan
Peringkat 3 : Melengkapkan penyelidikan dengan menghantar laporan penyelidikan.
Setelah melalui kesemua proses penyelidikan ini, terdapat 2 output yang boleh diperolehi oleh penyelidik iaitu :
Surat tamat penyelidikan akan dikeluarkan sekiranya semua dokumen yang diperlukan telah dimuatnaik mengikut format yang disediakan
Sijil penghargaan pencapaian KPI produk yang diaplikasi sekiranya hasil penyelidikan telah digunakan dan diaplikasikan kepada agensi luar.
Rajah 1.0 menunjukkan proses pelaksanaan aktiviti penyelidikan yang dijalankan di Politeknik Merlimau.