PATEN
Paten adalah satu hak eksklusif yang dianugerahkan untuk suatu rekacipta, sama ada ia adalah satu produk atau satu proses untuk melakukan sesuatu yang baru atau penyelesaian teknikal ke atas sesuatu masalah. Perbaharuan utiliti adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu rekacipta kecil yang tidak memerlukan ujian langkah merekacipta sebagaimana yang diperlukan untuk mendapat paten. Perlindungan Paten adalah selama 20 tahun dari tarikh pemfailan. Perbaharuan utiliti dilindungi selama 10 + 5 + 5 tahun dari tarikh pemfailan tertakluk kepada penggunaan. Mana-mana pihak boleh mengemukakan permohonan paten ataupun perbaharuan utiliti sama ada secara individu atau secara pemunyaan bersama dengan orang lain. Perkataan “orang” tidak terhad kepada individu perseorangan dan ini termasuklah, contohnya syarikat.
Kepentingan pendaftaran paten ialah:
Untuk mengeksploit rekacipta yang dipatenkan
Untuk penyerahhak atau pindahmilik
Untuk membuat kontrak lesen
Rekacipta yang boleh dipatenkan
Baru, iaitu rekacipta itu masih belum dizahirkan kepada orang awam di mana-mana di dunia;
Melibatkan langkah merekacipta yang mana rekacipta itu tidak ketara kepada seseorang yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi tersebut; dan Dapat digunakan dalam mana-mana industri.
Rekacipta Yang Tidak Boleh Dipatenkan
Penemuan, teori-teori saintifik dan kaedah-kaedah matematik;Baru, iaitu rekacipta itu masih belum dizahirkan kepada orang awam di mana-mana di dunia;
Varieti tumbuhan atau binatang atau proses yang ada pada dasarnya adalah proses biologi bagi pengeluaran tumbuhan atau binatang, selain daripada mikro organisma hidup buatan manusia, proses mikrobiologi dan keluaran-keluaran proses mikro-organisma itu;
Skim, aturan atau kaedah bagi menjalankan perniagaan, melakukan perbuatan-perbuatan mental semata-mata atau bermain apa-apa permainan
Kaedah-kaedah merawat tubuh manusia atau binatang melalui pembedahan atau terapi, dan kaedah-kaedah diagnosis yang dilakukan kepada tubuh manusia atau binatang.